MANJUNG: Sebuah syarikat yang menjalankan aktiviti penangkapan hasil laut di Pantai Remis di sini digempur setelah didapati menyeleweng barang kawalan diesel bersubsidi.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, Ops Tiris 3.0 itu dilakukan oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Manjung pada Rabu.
“Hasil pemeriksaan dan maklumat risikan mendapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan mengubah suai tangki kapal sebenar dengan had 3,000 liter kepada tangki tambahan berkapasiti 7,000 liter.
“Bekalan minyak diesel pula disyaki dibeli menggunakan kuota kapal lain dengan harga subsidi dan kemudiannya minyak diesel tersebut akan dijual kepada pihak industri di Pantai Remis,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, ketika serbuan dilakukan, sebuah kapal sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak diesel dari tangki kapal kepada skid tank menggunakan hos dan pam penyedut.
Skid tank merupakan tempat simpanan minyak diesel tanpa subsidi dan disyaki dijadikan tempat pengumpulan minyak diesel yang dibeli melalui modus operandi penyelewengan tersebut.
“Turut ditemui dokumen pembelian dan penjualan serta kad kuota kapal lain yang disyaki digunakan untuk penyelewengan ini.
“Siasatan awal mendapati premis ini turut mempunyai premit menyimpan barang kawalan berjadual diesel tidak bersubsidi dengan had kuantiti simpanan 58,000 liter untuk kegunaan kapal nelayan kategori C2,” katanya.
Sehubungan itu katanya, seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis telah ditahan.
Selain itu, kira-kira 50,900 liter cecair yang disyaki diesel yang ditemui di dalam kapal dan skid tank, sebuah kapal pukat hanyut serta peralatan penyedut minyak disita untuk siasatan lanjut.
Kamalludin nilai sitaan dianggarkan berjumlah RM355,040 dan kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.



