IPOH: Kerajaan Perak berjaya menoktahkan kemiskinan tegar seramai 9,686 ketua isi rumah (KIR), sejak tahun lalu sehingga 3 September 2025.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, daripada jumlah itu, seramai 8,986 KIR dikeluarkan tahun lalu, manakala 700 lagi sehingga 3 September 2025.
Menurutnya, kejayaan itu menjadikan Perak berjaya merekodkan angka kosong KIR miskin tegar.
“Selain itu, sehingga 3 September 2025 kita juga telah berjaya mengeluarkan seramai 5,719 KIR dari status KIR miskin menjadikan angka terkini KIR miskin di Perak adalah sebanyak 2,064 KIR iaitu penurunan sebanyak 73.6 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Salbiah berkata, angka rasmi itu tidak pernah menipu walaupun terdapat segelintir pihak memandang sinis dan sepi usaha yang dilakukan kerajaan negeri.
Malah, ujarnya, ada juga pihak yang mendakwa ia sekadar agenda politik walaupun kerajaan negeri meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Jelasnya, bagi memastikan miskin tegar terus dinokhtah di negeri ini, pelbagai usaha dilakukan termasuklah mengambil pendekatan baharu melalui program One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Negeri Perak.
Tambahnya, tahun ini, program itu mengambil pendekatan baharu dengan memberi tumpuan intervensi semua agensi kerajaan ke peringkat mukim supaya lebih berfokus dan dekat dengan rakyat.
“Pada tahun ini juga, pengisian program telah bertumpu kepada generasi kedua dan murid tercicir dari pelajaran.
“Ianya bagi memastikan kemiskinan sesebuah keluarga itu tidak diwarisi dan seterusnya berlaku mobiliti sosial ke tingkat yang lebih baik bagi keluarga berkenaan,” katanya.
Salbiah berkata, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada program peningkatan pendapatan melalui bantuan peralatan perniagaan dan program pemadanan pekerjaan yang dilihat dapat membantu peserta meningkatkan ekonomi kendiri dan keluarga.
“Program seumpamanya banyak disediakan oleh agensi-agensi seperti bantuan peralatan melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Geran Gerak melalui Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP), bantuan peralatan Biznita melalui Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak (SPW), padanan pekerjaan melalui Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan sebagainya untuk memastikan pendapatan golongan ini dapat dipertingkatkan,” katanya
Selain itu, kata beliau, bantuan bulanan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak masih diteruskan kepada kumpulan sasar yang benar-benar memerlukan.
Tambah beliau, secara keseluruhannya, jentera kerajaan sama ada agensi-agensi kerajaan negeri mahupun persekutuan di Perak akan terus menggiatkan usaha bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat.