Shahrul Ridzuan, ahli keluarga ganding bahu bantu mangsa banjir di Gerik

Berita Perak

GERIK: Tidak mahu ramai mangsa banjir yang dikatakan tidak mendapat sebarang bantuan semakin melarat, Shahrul Ridzuan terpanggil untuk menyalurkan sumbangan bantuan di sini.

Dia yang juga ahli perniagaan dalam bidang pembinaan dan pengangkutan berkata, penyampaian barang keperluan dapur itu digerakkan bersama-sama ahli keluarganya.

Atas inisiatif itu, seramai 200 orang daripada 50 buah keluarga dekat Kampung Malau Kenering di sini berjaya dibantu.

“Saya bersama-sama keluarga membantu mangsa banjir, di samping memberi bantuan kepada 50 keluarga di sini,

“Kami memberi bantuan barangan dapur di setiap rumah yang berkenaan, dianggarkan berjumlah RM100.

“Ramai yang terkesan di kawasan ini dan difahamkan tidak ada bantuan barang dapur dari mana-mana pihak sampai semalam,” katanya.

Tambahnya, agihan bantuan itu dilaksana bersama-sama 10 ahli keluarganya.

Ujarnya lagi, bencana banjir di beberapa kawasan di Perak termasuk kampung tersebut yang disebabkan faktor hujan lebat berterusan lebih 48 jam baru-baru ini.