Setengah juta hadiri sambutan Thaipusam di Ipoh

Berita Perak

IPOH: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan kira-kira 500,000 orang akan menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Ipoh yang bermula Isnin hingga Khamis.

Sambutan bermula dengan perarakan pedati dari Kuil Maha Mariamman, Buntong dan berakhir di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh dan sebaliknya.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariat berkata, pihak polis telah mengambil beberapa langkah bagi melancarkan sambutan, termasuk lencongan dan penutupan jalan.

“Lencongan dan penutupan jalan ini dilakukan bagi memastikan kelancaran dan keselamatan orang ramai sepanjang sambutan ini berlangsung di samping beberapa penugasan kawalan yang diatur oleh pihak polis.

“Justeru orang ramai dinasihatkan untuk mematuhi arahan pihak polis bagi memastikan kelancaran lalulintas dalam sambutan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melakukan pemantauan sempena Program High Profile Policing sempena Sambutan perayaan Thaipusam di Ipoh pada Selasa.

Menurutnya, sepanjang sambutan itu, seramai 44 pegawai kanan dan 523 pegawai rendah ditugaskan untuk menjaga keselamatan.

Khamis lalu, media melaporkan Perak melarang penjualan dan penggunaan minuman keras di semua lokasi perarakan pedati semasa sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar di Gunung Cheroh.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan berkata, larangan itu julung kali dilaksanakan susulan aduan dalam kalangan penganut dan pengunjung semasa sambutan di lokasi berkenaan.

Menurutnya, bagi memastikan kelancaran sambutan perayaan itu, anggota polis akan berada di sekitar lokasi sambil dibantu beberapa agensi lain yang terlibat secara langsung sepanjang tiga hari perayaan berlangsung.