PARIT: Seorang meninggal dunia manakala tiga lagi cedera selepas tertimbus dalam timbunan tanah di Kampung Teluk Kepayang, Bota Kiri dekat Seri Iskandar, pada Ahad petang.
Kejadian dikatakan berlaku semasa kerja pengorekan tanah dan juga pemasangan paip di kawasan tempat pengumpulan pasir sungai di lokasi kejadian.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 5 petang.
Menurutnya, setibanya jentera di tempat kejadian, didapati terdapat tiga orang mangsa tertimbus pada paras dada dan seorang lagi tertimbus dalam tanah.
Katanya, menurut saksi, dua pekerja terlihat tanah di sekeliling tempat korekan mulai rebak dan jatuh ke dalam longkang yang dikorek.
Mereka juga cuba membantu mengeluarkan mangsa dari longkang yang dikorek, yang dianggarkan tiga meter dalamnya.
Shazlean berkata, ketiga–tiga mangsa yang tertimbus pada paras dada, masing–masing berumur antara 28 hingga 38 tahun mengalami kecederaan, berjaya dikeluarkan sekitar jam 6.30 petang sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Seorang lagi mangsa yang tertimbus disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan selepas berjaya dikeluarkan pada jam 7.59 malam.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan pada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Iskandar tamat jam 8.40 malam.



