Seorang daripada dua mangsa melecur meninggal dunia

Berita Perak

IPOH: Seorang daripada dua mangsa yang melecur dalam kebakaran dua buah kenderaan di Taman Utama Bercham, Ipoh, pada Selasa, telah meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 64 itu yang melecur 90 peratus disahkan meninggal dunia pada jam 6.52 petang Khamis.

Menurutnya, mangsa wanita berumur 54 tahun yang melecur 70 peratus masih tidak sedarkan diri dan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Jadi kita telah menjalankan siasatan di mana beberapa tindakan telah kita ambil, di antaranya ialah sampel daripada kereta dan motosikal yang terbakar telah diambil oleh pihak berunstik PDRM Perak.

“Pihak forensik bomba juga telah membuat pemeriksaan dan kita akan menunggu laporan apa ni daripada forensik bomba untuk apa ni sebab-sebab kebakaran ataupun kes tersebut,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bagi Bulan Mac 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, pihak polis telah merakam percakapan empat orang saksi yang terdiri daripada dua orang jiran dan dua orang anak mangsa wanita.

Beliau turut mengesahkan kenderaan yang terbakar didaftarkan atas nama anak perempuan mangsa.

Mohd Yusri berkata, laporan awal forensik pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dijangka diperolehi dalam tempoh tiga hari bekerja, bagi menentukan arah tuju siasatan polis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pada Khamis, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, polis sedang menyiasat kejadian seorang lelaki warga emas dan wanita yang melecur dalam kebakaran dua kenderaan dipercayai selepas bertengkar di hadapan sebuah rumah di Taman Utama Bercham, pada Selasa.

Menurut beliau, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah kereta dan motosikal serta dua mangsa kira-kira 10.18 pagi.