IPOH: Semua 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global di Perak, sudah dituntut keluarga.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, beliau difahamkan mengenai perkara itu ketika melawat pusat perlindungan berkenaan semalam.
“Kebetulan semalam saya sempat pergi ke tempat jagaan perlindungan itu, dan semua dah ‘clear’ lah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan seminar Gadis Hebat Negeri Perak 2025 di Kolej Poly-Tech MARA di sini, hari ini.
Pada 17 Disember lalu, Salbiah berkata, sebahagian besar daripada 55 kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian GISBH yang diselamatkan menerusi Op Global, sudah dituntut keluarga.
Menurutnya, tiada penambahan kanak-kanak penghuni rumah amal kendalian GISBH di Perak yang diselamatkan menerusi Op Global selain daripada 55 kanak-kanak yang sebelum ini dilapor diselamatkan pada 26 September lalu.
Mengenai seminar yang diadakan, ia antara lain bertujuan membantu mengurangkan masalah sosial di kalangan gadis remaja yang berumur 15 tahun ke atas.
“Sebab itu kita bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Perak, tumpuan kita untuk memastikan agenda pembangunan sosial di negeri ini fokus kepada wanita bermula dari ‘rebung’ lagi,” ujarnya.
Menurutnya, kerajaan negeri turut bimbang dengan peningkatan kes kehilangan beberapa remaja wanita sejak beberapa minggu lalu.
“Disebabkan faktor-faktor sekarang ini kita mendengar kes masalah sosial di kalangan remaja yang menyebabkan kita menganjurkan seminar seumpama ini untuk sekurang-kurangnya dapat memberi sedikit ilmu kepada mereka,” katanya.
Salbiah berkata, kanak-kanak remaja sebenarnya mahu ibu bapa atau masyarakat mengambil tahu mengenai perasaan mereka, walaupun mungkin ia tidak dapat diselesaikan.
“Tetapi perkongsian dari rakan yang tepat, akan membawa mereka ke jalan yang tepat (betul).
“Kita bimbang sekiranya kita melepaskan mereka tanpa apa-apa tindakan daripada kerajaan negeri, kita akan membiarkan mereka membuat keputusan ke jalan yang tidak tepat,” tambahnya.
Beliau turut meminta ibu bapa dan komuniti setempat cakna dengan masalah yang dihadapi oleh anak-anak remaja.



