Sembilan masjid di Perak sertai program sekuriti makanan

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Sebanyak sembilan buah masjid di Perak dipilih sebagai perintis bagi melaksanakan program sekuriti makanan menerusi tanaman betik membabitkan peruntukan RM86,000.

Pengarah Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, pelaksanaan program seluas 1.7 hektar itu adalah antara usaha untuk memperluaskan program bumi hijau, selain menjadikan masjid pusat pengeluaran makanan.

Menurutnya, di bawah program itu, setiap masjid menerima input pertanian seperti benih sehingga 100 pokok, baja dan racun di samping khidmat bantuan melibatkan penyediaan kawasan, pembersihan dan sistem pengairan.

“Penanaman betik ini kita lakukan serentak mulai hari ini di semua masjid oleh ahli kariah dan jawatankuasa masjid masing-masing.

“Pegawai Pertanian di kawasan akan datang memantau sepanjang tempoh penanaman iaitu kira-kira enam bulan sehingga berhasil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Peluncuran Program Sekuriti Makanan (tanaman betik) Masjid Negeri Perak di Masjid Al Lattifiyah Kampung Loh, Karai di sini, hari ini.

Beliau berharap hasil yang diperolehi nanti, sebahagian besarnya dapat dijual sebagai sumber pendapatan masjid dan membeli input-input pertanian bagi tanaman seterusnya.

Selain Masjid Al Lattifiyah, lapan lagi masjid terpilih ialah Masjid Al Amin Kampung Jong, Gerik; Masjid Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Tapah; Masjid Sultan Azlan Shah, Kampung Gajah; Masjid Ar Ridzuan Kepala Pulau, Kampung Gajah; Masjid Jamek Baru, Gopeng; Masjid Aziziah Batu 10, Bagan Datuk; Masjid Kampung Air Kuning, Taiping dan Masjid Al Muhajirin Kampung Nibung Hangus, Kuala Kurau.

Norsiyenti berkata, pemilihan betik adakan disebabkan permintaan tinggi di pasaran serta kaedah penjagaan dan penanaman yang mudah berbanding buah-buahan lain.

Menurutnya, berdasarkan data tahun lalu, Tahap Sara Diri (SSL) tanaman betik adalah sebanyak 75 peratus dan usaha itu diyakini dapat membantu meningkatkan pengeluaran buah berkenaan di negeri ini.

Belia berkata, pihaknya juga sedia membantu sekiranya ada masjid atau surau yang mempunyai kawasan dan berhasrat melaksanakan program sama, sedia bantu.

“Bukan betik sahaja, tanaman buah komersial atau sayur berdaun juga boleh termasuklah rockmelon dan cendawan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Norsiyenti
berkata, program pertanian komuniti yang dilaksanakan di Perak sejak 2021 telah memberi manfaat kepada 1,010 peserta di 101 lokasi melibatkan masjid, surau, pondok dan maahad.

Menurut beliau, pihaknya akan terus merancakkan aktiviti pertanian di kawasan-kawasan itu bagi meningkatkan interaksi sosial menerusi pengeluaran makanan sihat yang mampu menjana pendapatan peringkat komuniti.