Selepas baham sembilan ekor lembu, Pak Belang akhirnya masuk perangkap

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Harimau Belang yang dikatakan membaham sembilan ekor lembu milik penduduk kampung, akhirnya masuk perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Ladang Sawit Perlop 1, dekat sini, hari ini.

Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, harimau itu dipercayai masuk ke dalam perangkap yang mereka pasang sejak Disember tahun lalu.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, harimau tersebut dianggarkan berusia 1 tahun 10 bulan dengan berat kira-kira 90 kilogram.

“Kita mengesyaki harimau ini sudah serang dan membaham sembilan ekor lembu,” katanya di sini.

Beliau berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai harimau belang masuk perangkap daripada orang kampung yang membuat aduan.

“Biasanya kalau kami pasang perangkap, kami akan minta kerjasama daripada pengadu untuk sama-sama memantau kerana kami mempunyai banyak perangkap yang dipasang, seperti perangkap kera, beruk, musang dan harimau yang terletak jauh.

“Sama juga dengan kes harimau ni, pengadu datang tengok (perangkap), dia tengok ada (harimau), dia beritahulah staf kami,” ujarnya.

Menurut Yusoff, Harimau Malaya itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai.