Selepas 10 tahun banjir besar, durian Kampung Gajah tidak lagi merajuk

Berita Perak

PASIR SALAK: Peristiwa banjir besar yang berlaku pada 2014, menyebabkan pokok durian di sekitar Kampung Gajah di sini, dikatakan ‘merajuk’ mahu berbuah kerana rosak atau mati.

Sejak tahun itu, lebih-lebih diawal-awal tahun selepas kejadian banjir besar yang turut melanda seluruh negara, pokok durian di Kampung Gajah tidak mengeluarkan buah yang banyak seperti sebelumnya.

Selepas 10 tahun, kini pokok raja buah itu tidak lagi ‘merajuk’ dan mula mengeluarkan hasil yang banyak.

Buat pertama kali musim ini, durian di sini berbuah lebat dan memberikan rezeki lumayan kepada pemilik dusun.

Pemilik dusun yang ditemui tidak menyangka musim kali ini buah durian lebat, malah berbuah di hampir semua pokok sehinggakan setiap pagi berbakul-bakul buah durian dapat dikutip.

Seorang pemilik dusun durian di sini, Ismail Ibarhim, 65, berkata, sejak awal Julai, raja buah itu mulai luruh sejak bulan lalu dan dijangka berterusan selama satu atau dua bulan lagi.

Katanya, lambakan durian di Kampung Gajah menyebabkan kawasan itu didatangi penggemar durian yang mencari durian kampung yang terkenal keenakkannya.

“Musim kali ini buah durian lebat, tidak seperti sebelum-sebelum ini. Selepas banjir besar pada 2014, banyak pokok durian yang mati dan rosak ditenggelami banjir di kawasan Kampung Gajah.

“Sejak itu, pokok durian di sini seakan-akan ‘merajuk’ apabila tidak lagi menghasilkan buah dan jika ada yang berbuah pun, ia tidaklah lebat seperti sebelumnya.

“Namun musim ini pokok durian berbuah lebat, mungkin sudah habis merajuk, pokok sudah pulih daripada kesan banjir 10 tahun lepas,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Ismail, kawasan Kampung Gajah memang terkenal dengan durian kampung seperti durian kunyit, durian tupai dan durian gantang dan durian jenis itu ditanam di dusunnya.

Katanya, pokok durian berbuah lebat dibantu cuaca yang sesuai untuk putik lekat dan membesar sehingga buahnya masak.

“Pada musim durian kali ini, penggemar raja buah ini datang ke Kampung Gajah antaranya dari Selangor, Ipoh dan paling jauh dari Kedah,” katanya.

Menurutnya, dia mewarisi dusun durian seluas hampir empat ekar daripada arwah neneknya dan ada di antara pokok di dusunnya yang berusia hampir 100 tahun.

“Di sini terdapat kira-kira 60 pokok durian kampung dan tahun ini nampaknya pokok durian tidak lagi merajuk, buahnya sangat lebat,” ujarnya.

Dia memberitahu, hasil kutipan sehari mencecah 200 kilogram dam pelanggan yang datang ke dusun ini bukan sahaja dapat makan buah yang segar, juga dapat merasai pengalaman mengutip durian yang luruh di kawasan dusun ini.

Menurutnya, setiap pagi dia mengutip kira-kira tujuh bakul durian manakala sebelah petang pula sekitar empat bakul, yang kebanyakkannya dijual kepada peraih sekitar RM6 sekilo.