Selepas 10 bulan, KM TUGAU kembali perkasa penguatkuasaan perairan Perak

Berita Perak

LUMUT: Kapal Maritim (KM) TUGAU kembali menyemarakkan barisan hadapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak selepas selesai menjalani kerja-kerja pembaikan menyeluruh selama 10 bulan.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kepulangan KM TUGAU memberi nafas baharu dalam memperkukuh operasi penguatkuasaan undang-undang maritim di Zon Maritim Malaysia (ZMM), khususnya di perairan negeri Perak dan kawasan sempadan perairan Malaysia-
Indonesia yang berisiko tinggi terhadap pencerobohan serta jenayah rentas sempadan.

Menurutnya, KM TUGAU dijangka akan memberi lonjakan keupayaan kepada Maritim Malaysia dalam melaksanakan rondaan, penguatkuasaan serta tindak balas pantas terhadap sebarang ancaman keselamatan maritim.

“Dengan keupayaan aset ini, Maritim Negeri Perak lebih bersedia untuk membanteras kegiatan nelayan asing, penyeludupan, pemerdagangan manusia serta pelbagai pelanggaran undang-undang di laut,” katanya selepas menyaksikan majlis penerimaan secara rasmi KM TUGAU, petang semalam.

Majlis penerimaan itu adalah antara Pegawai Memerintah kapal tersebut, Leftenan Maritim Ainol Firdaus Mat Khir bersama wakil limbungan, Zahiruddin Zainal.

Hadir sama Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Perak, Komander Maritim Tan Ah Bik dan Timbalan Pengarah Logistik, Leftenan Komander Maritim Mohd Faiz Sujari.

Mohamad Shukri turut menzahirkan penghargaan kepada pihak limbungan di atas komitmen menyiapkan pembaikan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan, sekali gus memastikan KM TUGAU kembali beroperasi dengan prestasi optimum.