Sekolah di lapan daerah di Perak perlukan bilik multisensori

Berita Perak

IPOH: Hanya tiga sekolah di tiga daerah negeri ini yang mempunyai bilik multisensori bagi membantu perkembangan murid pendidikan khas terutama dalam kalangan autisme.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak, Safuan Raba’ai berkata, jumlah itu tidak mencukupi memandangkan masih ada sekolah di lapan daerah yang turut memerlukan kemudahan itu.

Jelasnya, tiga sekolah yang mempunyai bilik multisensori ialah di daerah Larut Matang Selama, Kinta Utara dan Kinta.

Beliau berkata, daerah Kinta Utara mencatatkan jumlah murid autisme tertinggi iaitu seramai 783 orang, sekali gus menjadi kawasan paling memerlukan kemudahan tersebut.

“Bilik multisensori sangat penting bagi membantu murid autisme menstabilkan emosi dan memperkembangkan potensi diri mereka.

“Justeru, kita berharap lebih ramai pihak tampil memberi sumbangan bagi membolehkan sekurang-kurangnya setiap daerah mempunyai satu bilik multisensori,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Naungan Kasih Sentuhan Autisme Perak 2025 anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak di Taman DR Seenivasagam di sini baru-baru ini.

Program tersebut disempurnakan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Wanita Prihatin Perak, Noorzita Raba’ai berkata, program kali ini berjaya mencapai sasaran mewujudkan tiga bilik multisensori baharu di daerah Kinta.

“Alhamdulillah, matlamat kami tercapai dengan penubuhan sebuah bilik multisensori snoezelen yang dijangka siap hujung tahun ini di SK Sungai Rokam.

“Selain itu, dua lagi bilik multisensori integrasi diwujudkan di Sekolah Coronation Park dan SK Sri Sentosa,” katanya.

Menurutnya, kos bagi menubuhkan sebuah bilik multisensori dianggarkan antara RM30,000 hingga RM50,000.

“Dengan adanya bilik multisensori ini, kita berharap ia dapat memberi manfaat besar kepada anak-anak autisme khususnya di Perak.

“Program ini juga mendapat sokongan padu daripada JPN Perak serta agensi lain dan kehadiran lebih 500 peserta pada hari ini membuktikan komitmen bersama terhadap pendidikan anak istimewa,” katanya lagi.