Sekolah Bantuan Kerajaan DUN Jalong terima peruntukan, perkasa pendidikan

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Peruntukan berjumlah RM100,000 diberikan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mahathma Gandhi Kalasalai di sini bagi menyokong aktiviti kokurikulum pelajar serta pembangunan sekolah tersebut.

Sekolah terbabit mempunyai seramai 267 orang pelajar.

Dana itu telah disalurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee kepada ahli lembaga pengelola sekolah.

“Terdapat aduan bahawa banyak Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) tidak menerima peruntukan daripada kerajaan.

“Untuk mengatasi isu ini, KPM telah memperuntuk dana sebanyak RM325,000 bagi membantu SBK khususnya di kawasan Sungai Siput,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dalam program Pengumuman Peruntukan Kepada SBK DUN Jalong di SJKT Mahathma Gandhi Kalasalai.

Dalam majlis berkenaan, beliau menyerahkan dana RM100,000 kepada SJKT Mahathma Gandhi Kalasalai, sebuah sekolah bersejarah yang tertua di kawasan tersebut.

Tambahnya, peruntukan tambahan berjumlah RM830,000 diterima bagi
sekolah di DUN Jalong.

Yang mana SJKT membabitkan RM325,000.

Katanya lagi, peruntukan pendidikan DUN Jalong itu termasuk SJKT Ladang Dovenby (RM120,000), SK Methodist (RM50,000), SMK Methodist (RM55,000) dan SJKT Mahathma Gandhi Kalasalai (RM100,000).

“Kita telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia dan telah dikunjungi oleh Timbalan Menteri Pendidikan sekali gus menerima peruntukan tambahan kepada sekolah di DUN Jalong.

“Peruntukan tambahan untuk SBK juga berjaya diselesaikan termasuk SJKT, ia dapat memperkasa pendidikan Tamil di sini.

Sementara itu, Pengetua sekolah, U. Jayalakshmi, berkata sekolah itu tidak menerima bantuan kewangan kerana tiada lembaga pengelola yang ditubuhkan.

Namun, sejak penubuhan lembaga baru-baru ini, sekolah berpeluang menerima bantuan tersebut yang sudah tentu menjadi hadiah terbaik bagi mereka.