GOPENG: Isteri kepada Allahyarham Koperal Amiruddin Zabri yang terkorban dalam nahas di Teluk Intan pada Selasa memaafkan pemandu lori muatan batu yang terlibat dalam kemalangan itu.
Norazian Mohd Joned, 38, berkata, kemalangan itu hanya menjadi asnab kematian suaminya dan lapan lagi rakannya.
Menurutnya, Allahyarham pernah melahirkan rasa cemburu terhadap kematian enam anggota bomba yang lemas ketika menyelamatkan seorang remaja yang terjatuh di lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Selangor pada 2018.
“Asbab saja kan benda ni, janji, sebab suami saya pernah cakap, dia kata apa, kes yang bomba lemas yang turun ramai-ramai itu kan.
“Dia pernah cakap kita patut cemburu dengan dia orang ni sebab kematian mereka didoakan oleh semua orang, orang yang tak kenal pun doa dia kata kan.
“Dia memang mungkin agaknya masa itu dia doa juga kut dia nak mati macam itu kan.
“Dia pernah cakap dia kata, dia orang ni mati yang baik dia kata macam itu, jadi tak tahulah kan, mungkin dalam hati dia doa macam itu juga,” katanya.
Dia ditemui semasa Program Ziarah Kasih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di kediamannya di Kampung Sungai Itek, Gopeng pada Ahad.
Mengenai keadaan keluarga selepas hampir seminggu pemergian suami, Norazian berkata, dua anak lelakinya, Amirul Firdaus, 12 dan Amirul Asyraf, 11 sudah boleh menerima kehilangan ayah mereka.
Bagaimanapun, katanya, anak bongsunya, Amira Sofea yang berusia setahun tiga bulan sering terjaga malam dan merengek, mungkin kerana rindukan ayahnya.
“Dia asyik merengek, nak cakap tak tau. Mungkin dia rindukan ayahnya sebab memang arwah yang akan menidurkan dia,” ujarnya.
Norazian yang juga penjawat awam berkata, dia akan menggunakan bantuan kewangan yang diterima, untuk memberi pendidikan yang sempurna untuk anak-anak.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi PTPTN, Mastura Mohd Khalid menyampaian manfaat perlindungan Takaful dan khairat kematian berjumlah RM4,000 kerana Allahyarham Koperal Amiruddin merupakan pendeposit
Simpan SSPN Prime yang telah membuka akaun untuk diri sendiri pada 7 Mei lalu.
Dalam kejadian pada 8.50 pagi Selasa, lori muatan batu yang dipandu seorang lelaki bertembung trak yang membawa 18 anggota FRU yang sedang dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai menjalankan tugasan sempena perayaan Chitrapournami di Teluk Intan.
Akibat kemalangan itu sembilan anggota FRU yang menaiki trak berkenaan maut, manakala sembilan lagi mengalami pelbagai kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan Hospital Raja Permaisuri (HRPB) Ipoh.


