SARA: DPPM Perak sambut baik sasaran libatkan 10,000 peniaga kecil

Berita Perak

IPOH: Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak menyambut baik langkah kerajaan untuk memperluas sehingga 10,000 pendaftaran baharu program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada peniaga kecil termasuk kedai runcit di kampung-kampung.

Yang Dipetuanya, Amirudin Tajudin berkata, langkah itu sekaligus dapat membantu meningkatkan jualan peniaga kecil di kawasan pedalaman.

Menurutnya, ketika ini hanya pasar raya dan pasar mini yang berdaftar sahaja, kebanyakkannya di pekan dan bandar besar sahaja yang mendapat manfaat dari program SARA.

“Dengan sasaran 10,000 peniaga, termasuk peniag kecil dan kedai runcit di kampung-kampung, ia bukan saja memudahkan penduduk kampung untuk membuat pembelian, malah membantu meningkatkan jualan peniaga kecil,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Amirudin menasihatkan peniaga kecil dan pemilik kedai runcit merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya, selain menambah stok barangan keperluan, mereka mungkin boleh menimbangkan untuk menambahbaik keadaan kedai masing-masing untuk memberi keselesaan kepada pelanggan.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tahun ini, kerajaan akan memperluas pendaftaran baharu program SARA kepada peniaga kecil termasuk kedai runcit bagi menangani isu masih terdapat penduduk kampung yang belum berdaftar dalam sistem sedia ada. 

Menurut Perdana Menteri, sasaran yang ditetapkan membabitkan 10,000 peniaga kecil dalam program SARA sekali gus memperluas manfaat bantuan itu di peringkat akar umbi.

Amirudin juga mengalu-alukan langkah kerajaan untuk mengadakan Program Jualan Rahmah MADANI tiga kali sebulan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana menyedari kebimbangan rakyat terhadap kenaikan harga barang.

Katanya, dengan lebih 23,000 Jualan Rahmah MADANI yang akan diadakan dapat memastikan barangan asas dijual pada kadar lebih rendah berbanding harga pasaran setempat.