IPOH: MIC Perak baru-baru ini telah meluahkan kekecewaan terhadap pengurusan semasa Yayasan Pembangunan Pendidikan India Negeri Perak.
Pengerusinya, Tan Sri M. Ramasamy mendedahkan, hal itu dicapai menerusi keputusan mesyuarat tergempar yang diadakan sebelum ini.
Katanya, sehubungan itu, terdapat beberapa perubahan bakal dilaksana bagi memastikan hala tuju lebih telus dan efektif dalam pembangunan pendidikan masyarakat India di Perak.
“Kami ingin umumkan keputusan yang dicapai dalam mesyuarat tergempar yang diadakan bersama Ketua-Ketua Bahagian, Ahli Pengurusan, Pemuda, Wanita, Putera, dan Puteri MIC Negeri Perak.
“Oleh itu, beberapa ketetapan penting telah dicapai termasuk perubahan kepimpinan Yayasan.
“Selain itu, keanggotaan Yayasan dan Mesyuarat Bersama Ahli Lembaga Yayasan,” katanya dalam sidang media khas di Pejabat MIC Negeri Perak.
Jelasnya, perubahan kepimpinan itu bermaksud Pengerusi dan Timbalan Pengerusi MIC Perak sedia ada perlu diganti dengan bekas Pengerusi dan Timbalan Pengerusi terdahulu.
Tambahnya, semua 24 Ketua Bahagian MIC Perak perlu dimasukkan sebagai ahli dalam yayasan.
Di samping itu satu mesyuarat rasmi bersama Ahli Lembaga Yayasan telah diadakan pada 20 Februari bagi membincangkan perubahan yang perlu dilakukan.
Dalam pada itu, Ramasamy menegaskan MIC Perak tidak mempunyai sebarang halangan terhadap program akan datang.
Khususnya Majlis Penyerahan Buku Latihan kepada murid-murid SJK(T) Negeri Perak yang dijadualkan berlangsung pada 22 Februari.
“Program ini akan diteruskan seperti yang dirancang demi manfaat para pelajar Tamil di negeri ini.
“Kami berharap semua pihak yang terlibat dapat memberi sokongan penuh dalam usaha memperkasa Yayasan Pembangunan Pendidikan India Negeri Perak demi kepentingan masyarakat,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau berkata, MIC Perak akan menganjurkan program ‘AIMST Our Choice’ pada 1 Mac.
“Kami menjangkakan kehadiran sekitar 1,000 peserta dalam program ini, yang bertujuan memberi pendedahan dan peluang terbaik kepada para peserta,” katanya.


