Roboh surau: Kami akan terus pertahan – penduduk kampung

Berita Perak

IPOH: Kerja-kerja awal untuk meroboh dan mengosongkan Surau Al-Karamah, Kampung Sri Keramat, Pasir Puteh, Ipoh pada Khamis tegang apabila lebih 100 penduduk melakukan bantahan secara besar-besaran.

Mereka berkumpul sejak jam 9 pagi untuk menghalang pihak pemaju mengambil alih tapak surau bagi tujuan pembangunan.

Keadaan bertambah kecoh apabila berlaku pertikaman lidah dan kata kecaman daripada penduduk yang tidak berpuas hati tindakan pemaju.

Situasi bagaimanapun berjaya dikawal dengan kehadiran anggota polis sebelum penduduk dan wakil pemaju beredar dari kawasan pekarangan surau sekitar jam 11.30 pagi.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Sri Keramat, Noor Azizan Abdul Aziz berkata, mereka akan membuat laporan polis dan melantik peguam mewakili penduduk kampung bagi mempertahankan surau berkenaan yang berusia 45 tahun.

“Kami terpaksa mempertahankan lah rumah Allah ni dan PT lot di sini, kami nak surau ini kekalkan di sini.

“Surau ni pun masih aktif, ada pengajian dan sebagainya, cuma cuma kami minta tolong dapat mempertahankan surau ni,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi surau, Abdul Zaimi Musa berkata, surau yang didaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada 25 Ogos 2019 itu turut digunakan penduduk beberapa buah kampung berhampiran.

“Kami datang bukanlah kami nak melawan kerajaan, tapi nak ambil hak kami sebagai penduduk sini.

“Tidak ada perbincangan langsung dan orang kampung pun tak tahu, tiba-tiba diri surau dah,” ujarnya.

Sementara itu Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, isu tersebut sepatutnya sudah selesai kerana sudah ada fatwa yang membenarkan untuk merobohkan surau itu dan diganti dengan yang baharu.

Malah, katanya, surau baharu sudahpun dibangunkan dengan kelengkapan telah disediakan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Sepatutnya, kata Harith Fadzilah
pihak masyarakat berlapang dada untuk berpindah ke surau yang baharu.

Pada 2021, Astro AWANI pernah menyiarkan isu mengenai Surau Al-Karamah turut mendapat perhatian Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang memberi perkenan agar surau itu tidak dirobohkan sehingga surau baharu siap dibina.

Pada 23 April lalu, media melaporkan Jawatankuasa Surau Al-Karamah memohon campur tangan Majlis Agama Islam Perak, Menteri Besar serta Pejabat Tanah dan Galian Perak untuk menghalang tindakan merobohkan surau itu bagi memberi laluan kepada projek perumahan.