RM70,000 bantu golongan miskin sepanjang Ramadan

Berita Perak

IPOH: Usahawan terkenal di Ipoh, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail menyediakan peruntukan sehingga RM70,000 untuk membantu golongan asnaf, miskin dan anak yatim sepanjang Ramadan tahun ini.

Menurutnya, selain peruntukan sendiri, beliau juga mendapat sokongan daripada rakan-rakan dan kaum keluarga untuk sama memberi sumbangan.

“Misalnya baru-baru ini saya buat dengan Perak Transit dan adik beradik saya.

“Mereka minta saya sampaikan pada orang yang memerlukan, saya pun sampaikan permintaan mereka,” katanya kepada pemberi di Majlis Khatam Al-Quran dan penyampaian sumbangan bakul rezeki dan berbuka puasa di Surau Al-Hijrah, Rumah Pangsa Jalan Hospital, baru-baru ini.

Amaluddin berkata, sumbangan bukan sahaja diberikan kepada orang Islam tetapi juga kepada orang India dan Cina yang benar-benar susah.

“Ada yang cacat, tak ada kaki, pakai kerusi roda, mereka ni benar-benar susah.

“Ramai orang yang minta tapi kita beri kepada mereka yang benar-benar susah,” ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya keadaan mengizinkan beliau akan meneruskan pemberian sumbangan itu di tahun-tahun akan datang.

“Insya Allah kita akan teruskan sumbangan seperti ini di tahun-tahun akan datang, kalau boleh sampai bila-bila,” katanya.