IPOH: Prihatin dengan keadaan tandas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran menyumbangkan RM50,000 untuk kerja-kerja naik taraf tandas berkenaan.
Ahli Parlimen Ipoh Barat itu berkata, di samping sumbangan berkenaan, beliau juga akan melibat keperluan-keperluan lain di hospital tersebut.
Menurutnya, beliau banyak menerima rungutan orang ramai kerana terpaksa menunggu lama sebelum nendapatkan rawatan.
“Tetapi selepas saya melawat sendiri, saya rasa berterima kasih kepada doktor-doktor di sini dan kakitangan yang bertungkus lumus kerana terlampau ramai pesakit dan bilangannya meningkat setiap hari,” katanya ketika ditemui selepas melakukan lawatan ke HRPB Ipoh hari ini.
Turut hadir Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Feisal Idzwan Mustapha dan ahli perniagaan tempatan, Datuk Amaluddin Mohamed Ismail.
Kulasegaran berpendapat, apa yang paling penting ialah rakyat sendiri perlu mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan mereka sendiri.
“Hospital adalah satu perkara, saya rasa itu mustahak kerana akhirnya itulah tempat untuk membantu menyelesaikan masalah kesihatan.
“Tetapi kita perlu mengambil langkah proaktif untuk menjaga kesihatan supaya kita mengelak seberapa yang boleh pergi mendapatkan rawatan kerana banyak daripada rawatan adalah disebabkan kurang pergerakan,” ujarnya.
Beliau berkata, HRPB menghadapi masalah kekurangan katil, bukan sahaja di wad tetapi juga di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Menurutnya, setakat ini, HRPB mempunyai 1,100 katil dan adalah wajar bilangan itu ditambah, sejajar dengan peningkatan pesakit dari semasa ke semasa.
Selain itu, ujarnya, HRPB juga menghadapi masalah kekurangan doktor, sama seperti masalah yang dihadapi oleh hospital di seluruh negara.
“Ini juga masalah yang perlu diatasi oleh kerajaan dan saya berharap kerajaan dapat menimbangkan permohonan dari pihak hospital ini, di samping membina bangunan tambahan dan lebih banyak katil,” tambahnya.
Beliau memberi jaminan akan memaklumkan keadaan mendesak di HRPB, termasuk kepada menteri berkenaan.





