GOPENG: Sebanyak RM40 juta peruntukan diluluskan untuk baik pulih Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) KEMAS di seluruh negara tahun depan.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man berkata, keutamaan akan diberikan kepada premis yang agak berusia.
Menurutnya, ia bagi memastikan aspek keselamatan anak-anak yang belajar di premis-premis berkenaan terpelihara.
“Buat masa ni semua negeri sedang menyiapkan data akhir tabika-tabika yang terlibat untuk naik taraf dan baik pulih.
“Insya Allah, pada awal Februari kita dah boleh memulakan proses sebut harga ataupun tender untuk kerja-kerja baik pulih dan naik taraf ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan bersama kakitangan KEMAS Negeri Perak di Gopeng, pada Isnin.
Selain itu, beliau memberitahu, peruntukan RM5.9 juta telah diagihkan kepada 353 Tadika dan Taska yang terjejas banjir di lapan negeri, baru-baru ini.
Dalam masa sama, katanya, sebanyak 17 buah Tadika baharu akan dibina di seluruh negara tahun depan, termasuk dua di Perak iaitu di Kampar dan Tambun.
Menurutnya, pembinaan baharu itu adalah bagi menampung permintaan ibu bapa yang semakin meningkat.
“Setakat ini, jumlah yang dalam kategori senarai menunggu telah melebihi 20,000 anak-anak,” ujarnya.
Menjelaskan lanjut, Mohd Hanafiah berkata, pertambahan minat itu mungkin disebabkan mulai tahun depan program pra tahfiz akan dikembangkan.
“Setakat ini kita ada 4,000 kelas pra tahfiz dan mulai tahun depan, insya Allah akan dikembangkan lagi kepada 8,000 kelas,” katanya.