TAPAH: Kementerian Kerja Raya (KKR) menerima cadangan untuk melebarkan jambatan Sungai Batang Padang bagi mengatasi masalah kesesakan Pekan Tapah pada jangka masa panjang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, berdasarkan kajian awal, projek itu dianggarkan bernilai RM15 juta.
Menurutnya, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang telah memakluman cadangan itu dan kementerian akan menelitinya terlebih dahulu.
“Saya difahamkan kalau kita tambah satu laluan lagi, ia mungkin memerlukan RM15 juta.
“Kami akan mencarilah bagaimana untuk mendapat RM15 juta itu.
“Tetapi, peringkat negeri perlu mengangkatmya kepada kami, Kementerian Kerja Raya dan kalau sekiranya diutamakan, mudahlah untuk kita lulus dan kami angkat lagi kepada Kementerian Kewangan ataupun Kementerian Ekonomi sebagai projek keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke tapak pelaksanaan projek penyuraian trafik laluan sehala Pekan Tapah, pada Khamis.
Nantha Linggi berkata, projek penyuraian trafik laluan sehala Pekan Tapah, telah siap sepenuhnya melibatkan peruntukan RM2.2 juta daripada KKR.
Mengenai perkembangan Projek lebuh raya West Ipoh Span Expressway (WISE) menghubungkan Gopeng dan Kuala Kangsar, beliau berkata, pelaksanaannya masih mengikut jadual ditetapkan.
Menurutnya, syarikat konsesi diberikan tempoh dua tahun untuk menyelesaikan segala urusan sebelum pembinaan dimulakan.
Pada 28 Mac, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan fasa pertama kerja-kerja itu pada 7 April dijangka siap pada 30 April.
Katanya, fasa kedua pula akan dimulakan tahun ini juga, membabitkan pembinaan jalan baharu atau laluan pintasan, melibatkan peruntukan RM17 juta daripada kerajaan negeri.


