RM1.35 juta untuk baju raya 9,000 anak kurang mampu di Perak

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Kerajaan Negeri Perak meneruskan program Meriah Beraya, Sejahtera Bersama (MBSB) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1.35 juta tahun ini.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, program tahun kedua itu menyantuni 9,000 anak golongan tidak berkemampuan, berusia antara 6 hingga 17 tahun.

“Ini adalah inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan kegembiraan dan keceriaan kepada anak-anak yang memerlukan sempena menyambut lebaran nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani merasmikan program MBSB Tahun 2024 di Dewan Jubli Perak di sini, pada Ahad.

Seramai 600 penerima dari Parlimen Kuala Kangsar dan Padang Rengas menerima bantuan berkenaan.

Sementara itu, Salbiah berkata, rata-rata peniaga bazar Ramadan memberi respon positif terhadap jualan mereka tahun ini walaupun terpaksa berdepan dengan kenaikan harga barang.

Menurutnya, tinjauan di beberapa bazar Ramadan di sekitar negeri ini mendapati maklum balas yang diterima daripada peniaga baik namun ia bergantung pada jenis jualan yang ditawarkan kepada pelanggan.

Katanya, jika makanan yang dijual viral dan sedap sudah pasti pelanggan akan singgah ke gerai mereka serta jualan akan laris.

“Setakat ini, saya telah pergi ke beberapa bazar dan apabila bertanya kepada peniaga, respon mereka memaklumkan semuanya okey dan itu mungkin merujuk kepada hasil jualan.

“Saya tidak jumpa peniaga yang merungut susah dan yang berkaitan, rata-rata beri respon, alhamdulillah okey.

“Kalau yang viral pelanggan akan beratur panjang, sampai habis (juadah) maknanya ia juga bergantung kepada jenis dan bagaimana juadah itu disediakan,” ujarnya.