Ribut: 44 keluarga di Taiping terima bantuan RM500

Berita Perak

TAIPING: Sebanyak 44 keluarga yang menjadi mangsa ribut kencang di Simpang, dekat sini baru-baru ini menerima bantuan RM500 setiap keluarga.

Exco Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Teh Kok Lim berkata, bantuan itu adalah bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

Menurutnya, sebagai manifestasi komitmen Kerajaan Madani yang prihatin dan mendahulukan rakyat, beliau bersama-sama ADUN Pokok Assam, Ong Seng Guan mewakili Pejabat Ahli Parlimen dan DUN Taiping telah turun padang dan menyerahkan bantuan itu
kepada setiap 44 keluarga di Taman Damai terbabit.

“Langkah ini bertujuan menyantuni rakyat yang terkesan serta meringankan beban mereka pasca bencana,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata ribut kali ini datang dengan begitu ganas dan tidak dijangka oleh ramai penduduk.

“Oleh itu, kita perlu bertindak segera dan memberikan bantuan serta sokongan yang nyata kepada mangsa-mangsa terlibat,” ujarnya.

Menurutnya, mereka bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan awal, malah akan terus membantu keluarga yang terjejas untuk memohon Dana Bantuan Bencana Negara bagi mendapatkan sokongan pembaikan dan pemulihan yang lebih menyeluruh.

Sementara itu, penduduk yang terkesan menyatakan penghargaan terhadap keprihatinan wakil-wakil rakyat tersebut

Mereka berjanji untuk segera membaiki rumah masing-masing dan memulihkan kehidupan seharian dengan bantuan yang diterima.

Pada masa yang sama, mereka merayu agar pihak berwajib dapat mempercepatkan proses kelulusan bantuan bencana agar mangsa dapat menerima sokongan yang diperlukan dengan lebih berkesan.

Baru-baru ini, ribut kencang telah melanda kawasan Simpang, menyebabkan beberapa buah rumah mengalami kerosakan teruk apabila bumbung rumah diterbangkan angin kencang.