Rempuh bot Maritim Malaysia untuk loloskan diri

Berita Perak

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 1.6 batu nautika barat laut muara Sungai Burung, dekat sini, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot terbabit dikesan kira-kira jam 6.30 petang ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan bot peronda ketika melakukan rondaan menerusi operasi di sekitar perairan Perak.

Menurutnya, menyedari kehadiran pihak berkuasa, dua individu dalam bot berkenaan bertindak agresif mengemudi bot secara berbahaya untuk meloloskan diri dan merempuh bot Maritim Malaysia.

“Kedua-dua nelayan terbabit merupakan warga Indonesia berumur 33 dan 42 tahun berjaya ditahan selepas bot mereka naiki mengalami kerosakan akibat rempuhan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Shukri berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, tekong dan kru gagal mengemukakan dokumen
pengenalan diri yang sah dan gagal mengemukakan dokumen untuk beroperasi.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai lesen yang sah untuk beroperasi.

Menurutnya, bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan turut dirampas untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.