IPOH: Masa senggang sempena cuti persekolahan terisi menerusi Program Remaja Dinamik yang membabitkan seramai 50 orang remaja dalam kalangan asnaf sejak Rabu lalu.
Program bertemakan ‘Mencipta Transformasi Diri ke Arah Kecemerlangan’ itu julung-julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih Kita Negeri Perak dan disertai peserta berusia 12 hingga 17 tahun.
Menurut Pengerusinya, Rosdziah Mohd. Zainuddin kesedaran mengenai isu sosial khususnya buli merupakan perkara yang paling banyak diulas oleh fasilitator sepanjang program itu.
“Kita turut memberi pendedahan mengenai isu buli dan membentuk peserta agar lebih berdaya saing dan cemerlang dalam pelajaran.
“Peserta juga diberi gambaran awal mengenai cabaran dan realiti dunia kerjaya yang bakal menanti mereka pada masa depan.
“Isu sosial khususnya buli merupakan perkara yang paling banyak diulas oleh fasilitator memandang kini banyak kes buli berlaku hingga menyebabkan kematian.
“Jadi, selain mencungkil potensi dan membina jati diri serta menyuburkan akhlak, kita mahu memberi kesedaran awal kepada peserta dalam usaha membendung masalah buli,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas majlis penutupan program di Tingkap Valley di sini pada Jumaat.
Ujarnya lagi, program yang mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu bukan sahaja melibatkan pelajar dalam Parlimen Tambun malah turut menarik penyertaan dari Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
“Alhamdulillah, melihat kepada penerimaan peserta yang menyambut baik setiap aktiviti yang diadakan, saya berharap program ini akan diperluas bukan sahaja kepada peserta di seluruh Perak malah ke seluruh negara,” katanya.





