REE: Syarikat Korea tunjuk minat jalin kerjasama- Saarani

Berita Perak

IPOH: Star Group Industries (SGI) sebuah syarikat terkemuka Korea Selatan yang menghasilkan produk hiliran unsur nadir bumi (REE) menunjukkan minat untuk menjalinkan kerjasama dengan Perak.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, syarikat berkenaan yang menghasilkan produk hiliran REE iaitu magnet kekal turut menyatakan hasrat berkunjung ke Perak bulan depan bagi mengadakan perbincangan lanjut berhubung kerjasama itu.

“SGI yang diketuai oleh pengasas merangkap CEO (Ketua Pegawai Eksekutif), Kong Kun Seong menunjukkan minat untuk bekerjasama, malah menyatakan hasrat berkunjung ke Perak bulan hadapan untuk berbincang dengan lebih lanjut,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Perkembangan positif itu susulan lawatan kerja Saarani bersama rombongan kerajaan negeri ke Korea, Selasa lalu.

Dalam lawatan tersebut, rombongan kerajaan negeri turut dibawa melawat kilang SGI di Daegu, yang menghasilkan produk hiliran REE.

Saarani berkata, kerjasama itu nanti dijangka berupaya melengkapkan rantaian bekalan industri automotif khususnya dalam melaksanakan projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Proton City Tanjung Malim tanpa perlu lagi mengimport bahan mentah dari luar.

“Magnet kekal merupakan salah satu komponen penting yang banyak digunakan dalam industri automotif.

“Ia menghasilkan motor aruhan magnet, magnet penjana penghidup hibrid, brek elektrik bersepadu MOBIS, motor electric power steering serta pelbagai lagi komponen berteknologi tinggi,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu nanti sudah tentu memberi manfaat besar kepada Perak khususnya dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda.

“Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan yang dapat kita cipta melalui industri-industri baru ini. Sudah pastinya ia akan melimpahkan manfaat buat rakyat negeri Perak khususnya anak-anak muda.

“Semoga segala rancangan baik untuk Perak dipermudah. Insya-Allah,” katanya.

Saarani bersama delegasi kerajaan negeri, dalam rangka lawatan kerja ke Korea Selatan dan Jepun bermula 20 hingga 27 April ini.

Lawatan itu antara lain bertujuan menarik minat syarikat di kedua-dua negara untuk melabur di Perak khususnya dalam industri mineral, kenderaan elektrik (EV), pengurusan sisa pepejal dan tenaga hijau.