IPOH: Rangkaian latihan kulinari yang tersusun dengan lebih 30 institusi awam dan swasta menawarkan pelbagai latihan dalam bidang itu, ternyata memberi kelebihan kepada Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia seiring dengan agenda pembangunan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang menjadi teras Perak Sejahtera 2030.
Katanya, sistem yang lengkap dan teratur membolehkan Perak menjadi hab latihan kulinari utama negara.
“Perak bertuah kerana mempunyai rangkaian latihan kulinari yang lengkap dan tersusun, merangkumi lebih 30 institusi awam dan swasta yang menawarkan pelbagai latihan dalam bidang kulinari serta makanan dan minuman (F&B).
“Daripada jumlah tersebut, 13 adalah Kolej Komuniti yang menawarkan kursus kulinari secara berstruktur, di samping GIATMARA, Kolej Vokasional dan Akademi Kemahiran KEMAS Gopeng yang turut melatih generasi muda dalam bidang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Haaza Centre of Excellence 2025 di Hotel Casuarina@ Meru.
Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah Haaza, Azizul Mohd Othman.
“Turut memperkukuh rangkaian berkenaan adalah institusi swasta yang berperanan melahirkan graduan berkemahiran tinggi serta bersedia menempuh cabaran industri.
“Ia memberi kelebihan kepada Perak untuk membina reputasi sebagai hab latihan kulinari utama negara,” katanya.
Dalam pada itu, katanya bidang kulinari tidak lagi terhad dalam menyediakan hidangan dan sajian untuk mengisi perut semata-mata.
Sebaliknya, ia menjadi industri yang menghubungkan budaya, menjana ekonomi, dan membentuk gaya hidup masyarakat.
“Graduan bukan sahaja perlu mahir dari segi teknik masakan, tetapi juga berupaya mengangkat cita rasa Perak ke tahap lebih tinggi.
“Mereka juga perlu mempersembahkan kisah di sebalik setiap hidangan, serta mengekalkan keaslian dan kualiti yang menjadi kebanggaan kita,” katanya.
Katanya lagi, keutuhan rangkaian itu memberi keyakinan bahawa Perak mampu terus memacu pelancongan kulinari serta membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada anak muda.




