Rakyat teraniaya apabila pembangkang tolak MoU dikemuka kerajaan – Syed Abu Hussin

Berita Perak

BUKIT GANTANG: Tindakan pembangkang menolak Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan, dilihat seolah-olah menganiaya rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, dalam masa sama, pembangkang mahu menggambarkan kononnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai zalim.

Menurutnya, apabila turun ke kawasan masing-masing, ahli-ahli parlimen pembangkang akan marah-marah kerana kononnya tidak boleh beri bantuan kerana tiada peruntukan.

“Tetapi merekalah sebenarnya kena bersedia berunding dan menerima apa-apa syarat yang sepatutnya mereka terima, namun sehingga kini syarat secara terperinci tak dimaklumkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup kejohanan memancing Kelubong Challenge di Dewan Orang Ramai Kampung Kelubong, dekat sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, rakyat juga sering dimomokkan kononnya ekonomi negara teruk dan sebagainya tetapi kini keadaan ekonomi bertambah baik, lebih-lebih lagi apabila nilai ringgit semakin kukuh.

“Jadi saya sekali lagi menyeru kepada ahli-ahli pembangkang sokonglah kerajaan, sokonglah Perdana Menteri dan rakyat akan dapat manfaat,” ujarnya.

Baru-baru ini, media melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang dikemukakan kerajaan.

Penolakan itu dibuat atas empat sebab asas yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan di mana beberapa syarat dikenakan dalam MoU dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Dakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, selain itu ia turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama di mana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.