BERUAS: Rakyat Perak dinasihatkan supaya tidak mengambil bahagian di dalam Himpunan Turun Anwar di Kuala Lumpur pada 26 Julai ini, yang dianjurkan pembangkang.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, himpunan itu hanya akan menimbulkan kekusutan rakyat dan membimbangkan pelabur.
Tambahan pula, kata beliau negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak boleh ditumbangkan melalui demonstrasi.

“Kita amalkan demokrasi berparlimen bermakna rakyat boleh memilih kerajaan baru pada pilihan raya umum, kita tak boleh tiru negara lain.
“Kalau kita mulakan ini, siapa-siapa pun jadi Perdana Menteri lepas ni, atau kerajaan manapun akan ada rakyat yang tak setuju dan mereka akan berarak hari-hari dan itu bukanlah satu proses demokrasi yang baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Beruas di sini hari ini.
Saarani berharap rakyat Perak tidak terpengaruh dengan kenyataan-kenyataan pembangkang, termasuk seorang negarawan.
“Yang saya pelik mereka tak pula bercerita tentang kenaikan gaji, kenaikan bantuan kerajaan kepada orang miskin dan tidak pula bercerita tentang bagaimana mata wang Malaysia semakin kukuh di pasaran,” ujarnya.
Menurutnya, sebagai wakil rakyat kampung, beliau memahami dan bersimpati dengan orang kampung sekiranya mereka terpengaruh dengan dakyah yang dibawa pembangkang.


“Mereka yang negarawan tu dah dapat pencen, sebahagiannya kaya-raya dah, pernah jadi menteri hari tu.
“Dulu kata pasal nak menuntut pelantikan Ketua Hakim Negara yang baru, sudahpun dilantik.
“Jadi apa lagi isunya, melainkan hanya untuk bawa orang berpanas di situ, memjerit, buat huru-hara, kemudian pelabur-pelabur lari, siapa yang rugi? katanya.
Dalam pada itu, Saarani mempersoalkan siapa bakal menjadi Perdana Menteri sekiranya Anwar turun sebagai Perdana Menteri.
Menurutnya, tidak mungkin pemimpin pembangkang akan menjadi Perdana Menteri kerana mereka hanya mempunyai 73 kerusi Parlimen.
