PUO politeknik pertama dilantik sebagai pusat penilaian APEL.A

Berita Perak

IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) telah dilantik sebagai Pusat Penilaian APEL.A (PPA) Dalaman oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) mulai 28 November lalu, menjadikannya institusi pertama di bawah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) yang memperoleh status itu.

APEL.A, singkatan bagi Accreditation of Prior Experiential Learning, adalah satu proses sistematik yang melibatkan pengiktirafan pembelajaran berasaskan pengalaman terdahulu untuk kemasukan ke pelbagai peringkat program pengajian di
institusi pengajian tinggi.

Ia membuka peluang kepada individu yang mempunyai
pengalaman kerja tetapi tidak memiliki kelayakan akademik formal untuk melanjutkan pengajian.

Menurut kenyataan PUO, PPA PUO akan menawarkan tiga tahap penilaian APEL.A iaitu APEL T-3: kemasukan ke program sijil S(umur minimum 19 tahun); APEL T-4: kemasukan ke program Diploma (umur minimum 20 tahun) dan APEL T-6: kemasukan ke program Ijazah Sarjana Muda (umur minimum 21 tahun).

Menurut kenyataan itu lagi, kriteria
asas permohonan APEL.A adalah pemohon warganegara Malaysia,
mencapai umur minimum yang ditetapkan mengikut peringkat kelayakan serta mempunyai pengalaman kerja yang bersesuaian.

“Pelantikan PUO sebagai Pusat Penilaian APEL.A bertujuan menyokong hasrat negara dalam membudayakan pembelajaran sepanjang hayat, meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dan mempercepatkan laluan pendidikan serta kerjaya, mengiktiraf pembelajaran tidak formal dan pengalaman kerja serta mampu
mengukuhkan keyakinan diri individu untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurutnya, pusat penilaian APEL.A PUO berfungsi sebagai pusat sehenti untuk permohonan
dan penilaian APEL.A, memberi bimbingan kepada calon sepanjang proses penilaian, mengurus proses penerimaan permohonan dan menetapkan tarikh penilaian serta melantik panel penilai portfolio untuk memastikan penilaian yang
telus dan berkualiti.

Katanya, dengan pengiktirafan itu, PUO membuka ruang kepada masyarakat, terutamanya
golongan pekerja yang ingin meningkatkan kelayakan akademik mereka tanpa perlu mempunyai kelayakan asas akademik secara konvensional.

Tambahnya, APEL.A menjadi jalan
pintas kepada mereka yang memiliki pengalaman luas untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Maklumat lanjut berkenaan permohonan APEL.A PUO boleh diperolehi dengan menghubungi penyelaras APEL.A PUO (Siti Zarida) di talian 1-300-88-1969.