IPOH: Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Kolej Vokasional (KV) dari Zon Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalin kerjasama strategik untuk terus memacu pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
PUO dalam kenyataan berkata, kerjasama itu yang melibatkan kepimpinan tertinggi kedua-dua belah pihak, dijalinkan sempena lawatan 42 deligasi kolej vokasional berkenaan semalam.


Menurutnya, lawatan yang diketuai Pengerusi Majlis Pengarah KV / Sekolah Menengah Teknik Zon Selangor / WPKL itu dilihat sebagai langkah kritikal dalam menyelaraskan standard kecemerlangan graduan teknikal di antara peringkat menengah dan pengajian tinggi.
“Delegasi telah diberikan taklimat eksklusif mengenai pengurusan Centre of Technology (COT), Centre for Graduate Studies (CGS), serta Pusat Pembelajaran Digital dan Multimedia (CDLM) yang menjadi nadi kepada inovasi instruksional di politeknik tersebut.
“Sinergi antara Kolej Vokasional dan Politeknik adalah kunci utama dalam memastikan tiada ‘mis-match’ atau ketidakpadanan kemahiran apabila pelajar beralih dari peringkat KV ke institusi yang lebih tinggi semasa sesi tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurutnya, delegasi turut dibawa meninjau fasiliti utama yang menjadi kebanggaan PUO, antaranya Jabatan Kejuruteraan Perkapalan (JKP) dan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal.
Menurut kenyataan itu lagi, lawatan tersebut secara tidak langsung memperkukuhkan kepercayaan ibu bapa dan industri bahawa aliran TVET di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kini bergerak seiring dalam satu ekosistem yang koheren.






Katanya, kejayaan lawatan itu turut didorong oleh sokongan bersepadu daripada Unit Komunikasi Korporat, Unit Khidmat Pengurusan, serta Unit Pembangunan Instruksional dan Multimedia (UIDM).
“Komitmen ini bukan sahaja bagi memastikan kelancaran agenda lawatan, malah berperanan penting dalam memelihara imej korporat PUO sebagai institusi TVET perdana yang sentiasa mampan dan progresif.
“Sinergi TVET ini dijangka akan mempercepatkan proses melahirkan tenaga kerja mahir yang bukan sahaja memiliki sijil, malah mempunyai kebolehpasaran yang tinggi selaras dengan aspirasi TVET Negara,” ujarnya.
Menurutnya lagi, PUO merupakan institusi TVET pertama di Malaysia yang komited dalam menyediakan akses pendidikan teknikal berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.





