IPOH: Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak berjaya mengekang kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ melalui pengenalan sistem e-Tanah dan syarat ketat tukar hak milik.
Pengarahnya, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata,
melalui pengenalan sistem e-Tanah mulai tahun 2021, tahap keselamatan dalam menjaga hak milik tanah diperketatkan.
Menurutnya, mereka mengambil pengajaran semasa menukar daripada sistem manual kepada Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) yang didapati ada ruang dan peluang untuk menukar nama pemilik asal.
“Selepas kita belajar daripada kesilapan itu dan kita tahu bahawa boleh berlaku sedemikian, maka semasa kita berunding dengan vendor e-Tanah, untuk kita memperketatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan pindah milik sewenang-wenangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas perasmian program Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini, yang disempurnakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Mohamad Fariz menjelaskan, semua kakitangan yang terlibat dengan urusan e-Tanah mempunyai pengenalan diri (ID) yang boleh dikenalpasti sekiranya berlaku sebarang bentuk salah guna kuasa.
Selain itu, katanya, urusan pindah milik melalui sistem e-Tanah juga hanya menerima geran asal.
“Kita tidak terima (urusan pindah milik) jika bukan geran asal tanah dan setakat ini kita yakini berjaya mengawal sebarang bentuk salah laku dan kesempatan melalui ruang elektronik,” ujarnya.
Baru-baru ini, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di sebuah Pejabat Daerah dan Tanah di Selangor.
Polis bertindak demikian atas laporan polis oleh seorang penolong pegawai daerah awal November.
Terbaru, Bukit Aman sudah menahan 17 individu, termasuk tujuh kakitangan pejabat tanah sejak September lalu kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.