Program Pendigitalan Perak diperluas ke masjid

Berita Perak

BATU GAJAH: Program Pendigitalan Perak diperluaskan lagi ke masjid-masjid dengan Masjid Imaniah, Jalan Bemban, di sini menjadi antara masjid perintis.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, lanjutan daripada itu akan diadakan kerjasama antara Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) dan masjid.

Menurutnya, beliau akan meminta pihak NADI untuk berjumpa dengan pengurusan masjid bagi memberi penerangan lanjut mengenai insentif yang boleh ditawarkan kepada mereka.

“Akhirnya masjid akan menjadi medium untuk ahli kariah yang terhimpit untuk menceburi bidang perniagaan.

“Mereka boleh menggunakan kemudahan yang disediakan di masjid sekiranya mahu menceburi perniagaan secara dalam talian,” katanya ketika ditemui selepas meluncurkan program Pendigitalan Masjid di Masjid Imaniah, hari ini.

Sempena perasmian itu, beliau turut menyumbangkan lima unit komputer riba untuk kegunaan perpustakaan digital di masjid berkenaan.

Program itu merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk membantu Ahli Jawatankuasa dan ahli kariah masjid menguasai kemahiran digital.

Mohd Azlan berharap agar masjid-masjid lain di seluruh Perak dapat mencontohi apa yang dilakukan oleh pihak pengurusan Masjid Imaniah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Masjid Imaniah, Dr Abd Nasir Matori berharap, ahli kariah yang berminat dapat datang ke masjid untuk mengikuti kursus-kursus yang dianjurkan.