Program Matrikukasi: MIC kesal belum dapat maklumat mengenai pelajar India

Berita Perak

TAPAH: Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan berkata, pihaknya telah meminta Kementerian Pendidikan (KPM) memberikan maklumat mengenai pelajar India dalam Program Matrikulasi bagi Sesi 2025/2026.

Bagaimanapun, kata Ahli Parlimen Tapah itu, pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak KPM.

Menurutnya, sebagai salah seorang ahli daripada Kerajaan Perpaduan yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, beliau telah menghantar surat secara rasmi kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memohon maklumat tersebut.

Bagaimanapun, katanya, sehingga hari ini, beliau masih belum menerima sebarang jawapan.

“Kalau saya wakil daripada kerajaan, mereka harap saya cakap benda-benda yang baik mengenai kerajaan hari ini, apabila saya sendiri tak dapat maklum balas, bagaimana rakyat biasa,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pertandingan bola sepak 7 sebelah di Stadium Mini Tun Ahmad Sarji, Tapah, di sini, hari ini.

Saravanan mengucapkan tahniah kepada pelajar India yang telah diterima menyertai program tersebut dan berharap mereka yang belum menerima jawapan agar bersabar.

“Yang belum dapat jawapan sabar ajelah dan saya harap kerajaan akan buat sesuatu yang terbaik dalam masa terdekat,” ujarnya.

Terdahulu, KPM dalam kenyataannya berkata, keputusan calon yang berjaya ke Program Matrikulasi Kementerian Pendidikan (KPM) bagi Sesi 2025/2026 boleh disemak mulai 21 Mei lalu, bermula pukul 10 pagi.

Menurut kenyataan itu, semakan bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 boleh dibuat menerusi laman sesawang https://matrikulasi.moe.gov.my.

Menurut kenyataan itu lagi pendaftaran secara dalam talian akan dibuka bermula 22 Mei hingga 21 Jun melalui laman sesawang kolej matrikulasi masing-masing.

Pelajar perlu mendaftar secara fizikal di kolej matrikulasi mulai 22 Jun 2025 berdasarkan surat tawaran masing-masing.

KPM turut memaklumkan bahawa pelajar yang tidak berjaya boleh mengemukakan rayuan secara dalam talian melalui laman sesawang sama, mulai 21 Mei hingga 21 Jun.

Keputusan rayuan akan diumumkan pada 30 Jun ini.