BUKIT GANTANG: Program Mahasiswa Bangkit Ejen Perubahan di Parlimen Bukit Gantang, bakal menjadi platfom untuk membantu penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari kawasan itu menjana pendapatan sendiri tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kewangan.
Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, berkata idea inisiatif itu tercetus daripada pengalamannya sendiri ketika bergelar mahasiswa yang berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa berniaga bagi menampung kos sara hidup.


Menurutnya, beliau pernah melalui kehidupan sebagai pelajar yang tiada duit, sebab itulah beliau faham kesusahan mereka.
“Kalau kita beri bantuan sekali sahaja, masalah tak selesai.
“Empat tahun di universiti, kos sara hidup tinggi. Saya tak mahu mereka akhirnya terpaksa berhutang,” katanya ketika berucap pada program berbuka puasa bersama mahasiswa, di sini malam tadi.
Beliau berkata, pendekatan yang akan digunakan adalah bergantung kepada minat dan kebolehan mahasiswa berkenaan



Tambahnya, ia termasuk penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), perniagaan makanan, jualan produk serta penghasilan kandungan digital.
Menurutnya, seramai 175 mahasiswa dari Parlimen Bukit Gantang yang menuntut di IPT seluruh Malaysia dikenal pasti untuk menyertai program itu.
Jelasnya, mereka dibahagikan mengikut negeri dan 25 kumpulan penyelaras dilantik bagi memantau perkembangan mereka dengan keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.





