Program Kembara Agihan Infak Ramadan Santuni Masyarakat Perak Tengah

Berita Perak

PARIT: Orang Besar Jajahan (OBJ) Perak Tengah bersama Pegawai Daerah Perak Tengah terus memperkukuh kerjasama strategik dalam memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat serta pengukuhan institusi masyarakat di daerah itu dilaksanakan secara berkesan dan tersusun.

Program jelajah ke mukim-mukim itu merupakan inisiatif julung kali diadakan di daerah Perak Tengah, dengan konsep kembara yang melibatkan penyampaian sumbangan secara terus kepada penerima di beberapa mukim di daerah berkenaan

Program tersebut merupakan Kembara Agihan Infak Ramadan hasil sumbangan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah yang diketuai OBJ Perak Tengah, Mohd Noordin Ahmad Razali, dengan kerjasama Pegawai Daerah Perak Tengah, Mohd Zaki Abdul Rahman dan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Supt Hafezul Hamzah.

Program itu turut disokong oleh pelbagai agensi berkaitan bagi menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir dan golongan yang memerlukan.

Di setiap mukim yang dilawati, penghulu mukim, ketua-ketua kampung serta para penerima bantuan telah bersedia di pejabat mukim dan lokasi agihan bagi memastikan proses penyampaian sumbangan daripada Yayasan Sultan Azlan Shah berjalan lancar.

Kembara agihan bermula di Dewan Serbaguna FELCRA Seberang Perak bagi penyampaian sumbangan kepada penerima dari Mukim Bandar dan Kota Setia.

Program kemudiannya diteruskan di Pejabat Daerah dan Tanah Kampung Gajah melibatkan penerima dari Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, Pasir Panjang Ulu dan Pasir Salak.

Rombongan seterusnya meneruskan agihan di beberapa mukim lain termasuk Lambor, Bota, Layang-Layang dan Belanja bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasaran di seluruh daerah.

Menurut Mohd Noordin, program Program kembara seperti itu membolehkan bantuan disampaikan secara lebih dekat dengan masyarakat di setiap mukim, di samping mengeratkan hubungan antara kepimpinan daerah dan rakyat.

“Setinggi-tinggi junjungan kasih kepada Paduka Seri Sultan Perak atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berharap penganjuran program itu dapat menjadi platform berterusan dalam memperkukuh usaha kebajikan serta kesejahteraan masyarakat di daerah Perak Tengah.