IPOH: Sebanyak 620 produk kesihatan yang mengandungi steroid anabolik, tidak berdaftar dan kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM2.06 juta dirampas dalam Op Pharna 2.0 dan Op Gudang di sekitar Ipoh pada Selasa.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mohd Zawawi Abdullah berkata, serbuan di enam premis itu berdasarkan aduan awam dan risikan yang dijalankan sejak Jun 2024.
Menurutnya, enam suspek lelaki dan wanita yang berumur dalam lingkungan 30 hingga 50 tahun turut ditahan untuk membantu siasatan, sebelum dibebaskan pada hari sama.
“Ada sebahagian ubat yang kita rampas adalah merupakan ubat-ubat yang terdiri daripada anabolik steroid yang kebanyakkannya disalahgunakan untuk tujuan bina badan.
“Ada juga ubat-ubat racun lain yang digunakan demi maksud yang sama lah, sama ada untuk tujuan meningkatkan kekesanan ubat steroid tadi ataupun untuk tujuan-tujuan menghilangkan kesan sampingan kepada penggunaan ubat tersebut,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media di Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Jabatan Kesihatan Perak di Hospital Bahagia Ulu Kinta di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri, Nor Huda Mohd Tajuddin; Timbalan Pengarah Cawangan Risikan dan Operasi KKM, Mohd Azaruddin Azis dan Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi JKN Perak, Zaidi Ahmad.
Mohd Zawawi berkata, terdapat juga ubat-ubat tidak berdaftar termasuk ubat tradisional dan makanan tambahan untuk kesihatan yang dibawa masuk daripada luar negara tanpa melalui saluran yang sah.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya belum dapat mengenal pasti negara tersebut dan mereka sedang mengesan ejen yang membawa masuk produk itu.
Menurutnya, empat kertas siasatan telah dibuka untuk tindakan mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 dan Peraturan 7(1)(a) dan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mengulas lanjut, Mohd Zawawi berkata, berdasarkan siasatan, produk-produk itu dijual secara meluas di platform e-dagang sejak empat tahun lalu.
Orang ramai boleh menyemak status pendaftaran ubat atau notifikasi kosmetik dengan melayari www.npra.gov.my di ruangan status produk atau menghubungi Bahagian Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400.