IPOH: Ahli UMNO dinasihatkan supaya tidak memboikot calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei depan.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, perbuatan itu tidak menguntungkan mana-mana pihak, kerana sebarang keputusan tidak akan mengubah keadaan.
“Nasihat saya tak usahlah, kalau tak sokong pun duduk diam-diam, jangan sabotaj-sabotaj, apa faedah, kita buat sesuatu yang berfaedah, tak faedah buat apa.
“Jangan ikut hati, (nanti) mati, jangan ikutkan rasa, (nanti) binasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kolej Antarabangsa Taj di Ipoh pada Jumaat.
Terdahulu, media melaporkan, hasil kajian bersemuka yang dijalankan oleh pengkaji, didapati segelintir pengundi Kuala Kubu Bharu bertekad tidak akan turun mengundi sebagai tanda protes.
Justeru, timbul persoalan sejauh mana ceramah dan komunikasi kempen pemimpin UMNO yang memberikan penjelasan dan membujuk agar penyokong BN, terutama UMNO mengundi calon DAP atas tiket Kerajaan Perpaduan, diterima pengundi.
PRK Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon, manakala 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian.