PRK Kuala Kubu Bharu: Ambil tindakan terhadap MCA jika enggan bantu

Berita Perak

Pasir Salak: MCA wajar diambil tindakan sekiranya enggan membantu calon kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, bulan depan.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, MCA seharusnya terbuka dan menerima keputusan kepimpinan berhubung penentuan calon yang mewakili kerajaan, walaupun bukan dari kalangan komponen BN.

Bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO itu menegaskan, dalam menyusun strategi menghadapi pilihan raya, keutamaan mesti diberikan kepada calon yang diyakini mampu memberikan kemenangan.

“Kalau DAP boleh menang letak la calon DAP. Kalau UMNO boleh menang, letak calon UMNO.

“MCA tak nak tolong atau boikot, ambil lah tindakan terhadap dia. Bukannya kita nak jaga MCA atau nak jaga DAP, yang kita nak jaga adalah kemenangan.

“Apa juga keputusan mesti berdasarkan kepada matlamat untuk menang, bukan matlamat untuk membodek, bukan strategi untuk individu atau pemimpin,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA yang menegaskan parti itu tidak akan berkempen pada PRK Kuala Kubu Bharu sekiranya calon bukan daripada BN.

Semalam, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dilaporkan berkata, parti itu sudah menyampaikan cadangan supaya calon PRK Kuala Kubu Bharu harus dipilih dalam kalangan BN kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pula dipetik berkata, pihaknya menghormati persetujuan supaya parti penyandang iaitu Pakatan Harapan (PH) diberi keutamaan untuk meletakkan calon pada PRK Kuala Kubu Bharu, 11 Mei depan.

PRK Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 27 April ini sebagai hari penamaan calon, manakala 11 Mei depan sebagai tarikh pengundian.