PRK Ayer Kuning: Pengumuman calon BN ditunda pada 7 April

Berita Perak

TAPAH: Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning yang dijadualkan pada 5 April depan, ditunda kepada 7 April.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, jentera pilihan raya juga akan diumumkan pada hari yang sama.

Jelasnya, penundaan tarikh itu bagi memberi laluan kepada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Melaka.

“Insya Allah kita akan buat di command center sempena sambutan hari raya Ahli Parlimen Tapah.

“Jadi kita akan melancarkan jentera pilihan raya dan juga serentak itu pengumuman calon.

“Sebab mengambil kira 5hb hari Sabtu difahamkan Kerajaan Madani akan buat Aidilfitri Madani di Melaka, jadi semua orang ke sana.

“Hari Ahad tu 6hb mengambil kira itu hari akhir orang bercuti raya, sudah tentu jalan dan lebuh raya akan sesak,” katanya selepas merasmikan Program Gerakan Koperasi Santuni Masyarakat Orang Asli Negeri Perak di Pejabat JAKOA Batang Padang / Muallim di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, pengumuman itu akan dibuat Pengerusi BN Pusat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Command Centre BN di Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Kampung Haji Tahir.

Mengenai pengumuman Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk turut meletakkan calon, beliau berkata, BN bersedia untuk menghadapinya.

“Kalau dia letak calon akan jadi tiga lah, mungkin akan ada calon pulak lah.

“Tapi PSM dulu pun pernah masuk dan hilang deposit. Jadi tak apalah sesiapa pun nak masuk, kita bersedia untuk berhadapan dengan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, PSM mengumumkan akan meletakan calon mereka pada PRK bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Pengerusinya, S. Arutchelvan berkata walaupun akan berdepan kesukaran namun parti itu berpandangan pertembungan dua penjuru akan memberikan kelebihan kepada dua buah parti utama yang bertanding.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 April untuk hari pengundian sementara 12 April depan sebagai penamaan calon manakala undi awal pada 22 April.

PRK Ayer Kuning membabitkan 31,897 daftar pemilih hingga 22 Februari iaitu 31,315 pengundi biasa serta 582 anggota polis dan pasangan.

Kerusi DUN Ayer Kuning kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari.

Pada PRU15, Allahyarham yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.