TAPAH: MCA tiada masalah untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, termasuk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Timbalan Pengerusi MCA Bahagian Tapah, Chong Shin Heng berkata, apa yang penting ialah memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan dari Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, sebelum ini, kerjasama antara komponen BN Tapah sangat baik sehingga mampu memenangi kerusi Parlimen Tapah yang diwakili MIC, DUN Ayer Kuning (UMNO) dan DUN Cenderiang (MCA).
“Walaupun kita berlainan parti, bangsa dan agama, tetapi dengan semangat BN, kita menang ketiga-tiga kerusi ini.
“Kali ini kita nak menangkan kerusi di Ayer Kuning, kita kena kerjasama dengan semua pihak, supaya kita boleh kekalkan kerusi ini, itu yang paling penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Merh Beraya Sejahtera Bersama 2025 di Dewan Kampung Padang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau yang juga ADUN Cenderiang berkata, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad sedang mengatur gerak kerja jentera pilihan raya antara BN dan PH.
Pada majlis itu, Choong menyampaikan baucer membeli pakaian Hari Raya bernilai RM150 kepada 150 kanak-kanak dari 10 buah kampung dan taman perumahan sekitar Cenderiang.



