TAPAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Dr Mohamad Yusri Bakir telah meletakkan jawatan sebagai penjawat awam.
Pengerusi BN Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Mohamad Yusri, 54, akan mendapat pelepasan daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada Khamis.
Menurutnya, pemilihan bekas pensyarah dan Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh itu dibuat kerana kebolehan dan kewibawaannya.
“Yang penting ialah kita mengetengahkan seorang calon yang pada pendapat kita calon itu mampu untuk berfungsi sebagai seorang wakil rakyat yang baik.
“Jadi tak perlulah penyokong-penyokong BN merasa gusar dari segi itu sebab yang paling penting, calon saya ini calon yang berwibawa.
“Dia akan menyambung tugas-tugas baik yang telah dibuat (bekas ADUN) Allahyarham Ishsam Shahruddin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar keibubapaan murid Orang Asli di Sekolah Menengah Sains Tapah, pada Khamis
Pada Isnin, BN mengumumkan
Setiausaha UMNO Bahagian Tapah Mohamad Yusri diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Ayer Kuning.
Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula mempertaruhkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Bawani KS, 40, sebagai calon manakala Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Yang Dipertua Pas Tapah, Abd Muhaimin Malek, 44,
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan penyandangnya Allahyarham Ishsam Shahruddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah meninggal akibat serangan jantung pada 22 Februari lalu.
DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar terdiri daripada 31,315 pemilih biasa dan 582 anggota polis dan pasangan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 26 April, dengan hari penamaan calon pada 12 April dan pengundian awal pada 22 April.