PPP tetap bersama BN walaupun ketika susah – Presiden PPP

Berita Perak

IPOH: Di sebalik ura-ura kononnya ada parti komponen Barisan Nasional (BN) mahu meninggalkan barisan itu, Parti Progresif Rakyat (PPP) menyatakan komitmen akan tetap terus bersama BN.

Presiden PPP, Datuk Dr Loga Bala Mohan menegaskan bahawa, mereka akan tetap bersama BN dalam apa jua keadaan, lebih-lebih lagi ketika susah.

“Kita tak akan lepas tangan walaupun dalam kesusahan. Mungkin dalam kesenangan, kita keluar lah. Kita kata, you okay, you carry on lah, you don’t need me.

“Tapi dalam kesusahan, kita takkan buat macam tu. Oleh itu, kita masih pada tahap memberi sokongan kepada Barisan Nasional.

“Tapi kata-kata itu bukan maksud kita kosong, (sebenarnya) kita ada kekuatan tapi kita tak nak tunjuk,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Konvensyen PPP Perak ke 72 di sini, hari ini.

Menurutnya, walaupun pelbagai kemelut melanda PPP sejak Pilihan Raya Umum 2018, tetapi mereka telah membuat keputusan untuk terus bersama BN.

Katanya, adalah tidak wajar parti itu lari meninggalkan BN ketika barisan itu menghadapi pelbagai isu ketika ini.

Pada Sabtu, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui pernah mengadakan pertemuan dan perbincangan secara tidak rasmi dengan parti komponen BN iaitu MCA serta MIC berhubung penyertaan mereka dalam Perikatan Nasional (PN).