Polis tumpas sindiket pengedaran dadah, rampas 21 kilogram heroin, tahan dua pengedar

Berita Perak

IPOH: Polis berjaya menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di kawasan Taiping, Perak selepas merampas 21 kilogram bahan disyaki dadah jenis heroin dalam operasi di Jalan Medan Simpang, pada Jumaat malam.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, polis turut menahan seorang nelayan berusia 41 tahun dan pembantu kedai makan berusia 47 tahun bersama dadah yang dianggarkan bernilai lebih RM262,000.

Menurutnya, kira-kira jam 11.15 malam, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah menahan kedua-dua lelaki itu yang berada di dalam sebuah kereta jenis Proton Waja.

“Hasil pemeriksaan di dalam kereta tersebut telah menjumpai satu guni berwarna putih dan didalamnya terdapat 46 bungkusan plastik lutsinar, setiap satu bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis Heroin dan jumlah anggaran berat keseluruhan 21 kilogram yang dianggarkan bernilai RM262,000.

“Ujian saringan awal air kencing telah dijalankan dan mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis Morphine.

“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, sindiket itu dipercayai mula aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak Februari lalu.

Katanya, dadah yang dirampas disyaki diperolehi dari utara Perak untuk diedarkan di pasaran tempatan dan dianggarkan boleh digunakan untuk seramai 20,000 orang penagih dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 9 Mei depan bagi membantu siasatan.