Polis tumpas sindiket guna lori usang sebagai stor, rampas 32 kilogram ganja

Berita Perak

IPOH: Polis Daerah Ipoh berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menggunakan lori usang di tepi jalan sebagai stor penyimpanan, sebelum diedarkan kepada pembeli, dalam operasi di kawasan Lahat, Ipoh, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam operasi sekitar jam 7 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ipoh telah menahan dua lelaki tempatan berumur 17 dan 50 tahun serta seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun.

Menurutnya kesemua suspek diberkas hasil maklumat dan risikan yang dijalankan selama dua minggu.

“Hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek telah membawa kejayaan rampasan penemuan 33 bungkusan plastik berisi ketulan mampan dedaun kering disyaki ganja di dalam sebuah lori usang yang ditinggalkan berhampiran lombong.

“Berat keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 32 kilogram dan nilai rampasan anggaran berjumlah RM 94,000.

“Rampasan dadah dipercayai bagi tujuan membekalkan kepada 42,000 penagih dadah sekitar Perak,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini, hari ini.

Abang Zainal Abidin berkata, lori itu yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat yang beralamat di Butterwoth, Pulau Pinang, dipercayai telah terbiar sejak empat tahun lalu.

Jelasnya, suspek menggunakan kenderaan usang untuk dijadikan stor penyimpanan sementara bagi mengelirukan pihak berkuasa.

Menurutnya, kesemua suspek direman sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Dalam sidang media yang sama, Abang Zainal Abidin berkata, polis menahan seorang pengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di di Tasek Square Residential, pada Rabu.

Menurutnya, polis merampas 17 peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 114 gram, bernilai RM 13,680, daripada lelaki tempatan berusia 37 tahun ini.

Suspek direman sehingga Ahad dan kes disiasat di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952.