IPOH: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas memberkas tiga lelaki berusia antara 33 dan 45 tahun, termasuk dalang utama, dalam serbuan sekitar Ipoh sejak hujung Oktober hingga Jumaat lepas.
Polis turut merampas dadah jenis heroin dan ganja seberat hampir 20 kilogram dianggarkan bernilai RM200,400 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan St John Ipoh pada Khamis, di samping menyita dua buah kereta serta barang kemas, bernilai lebih RM105,000.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, suspek pertama diberkas pada Khamis manakala suspek kedua dan ketiga diberkas dalam dua serbuan pada Jumaat.
“Lelaki kedua kita suspek dia mastermind sebab dia mengarahkan yang pertama kena tangkap tadi tu untuk menyimpan, menyimpan stok dia di setor dan begitu juga lelaki ketika juga adalah pengedarlah, dan dia mendapat arahan daripada lelaki kedua.
“Suspek kedua dalam tangkapan ini kita jangka jadi dalang, dia yang mengarahkan suspek pertama dan suspek ketiga,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan maklumat, suspek pertama berumur 41 tahun adalah pekerja kepada suspek kedua dengan gaji bulanan RM2,000 manakala suspek ketiga yang berumur 45 tahun, dibayar upah RM200 setiap kali melakukan pengedaran.
Katanya, sindiket tersebut dipercayai mula aktif sejak Ogos lepas dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 26,221 orang penagih.
Suspek pertama direman 12 hari sejak 31 Oktober lalu manakala suspek kedua dan ketiga direman lima hari mulai 9 November hingga 13 November depan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan pihak polis masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti rangkaian sindiket ini.