Polis tumpas sindiket curi motosikal ‘Geng Muncung’, berkas ketua bersama 10 anggota

Berita Perak

PARIT: Baru tiga bulan keluar penjara, seorang lelaki sekali lagi dicekup polis apabila dipercayai kembali aktif sebagai ketua sindiket curi motosikal dikenali sebagai ‘Geng Muncung’.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, suspek utama berusia 27 tahun itu dipercayai mengetuai kumpulan berkenaan sejak Januari lalu, sebaik keluar daripada penjara.

Menurutnya, suspek ditahan bersama 10 rakan lain yang berumur antara 21 hingga 46 tahun, dalam beberapa siri tangkapan antara 29 Mac hingga 2 April lalu.

“Dengan tangkapan ini, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah telah berjaya menumpaskan satu sindiket curi motosikal yang bergerak aktif semenjak Januari 2026.

“Seterusnya telah berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian motosikal yang dilaporkan hilang, melibatkan Daerah Perak Tengah, Manjung dan Ipoh,” katanya dalam sidang media di IPD Perak Tengah di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam serbuan yang dilakukan, polis berjaya merampas lima buah motosikal yang telah dileraikan selain peket plastik lusinar disyaki mengandungi dadah jenis Methamphetamine, anggaran berat 0.56 gram.

Tambahnya, ujian awal air kencing mendapati dua orang suspek positif dadah jenis Methamphetamine.

Menurutnya, kumpulan tersebut mensasarkan motosikal jenis Yamaha 125ZR dan Y15ZR dan menjual alat ganti yang dileraikan dengan harga murah.

Hafezul Helmi berkata, polis masih memburu dua lagi anggota kumpulan tersebut yang dikenali sebagai Amirul Shafiq Khairul Azhar, 22 tahun dan Muhammad Nur Hakim Mat Arib, 29.

Menurutnya, kesemua suspek bekerja sebagai mekanik, bekerja sendiri dan juga pengawal keselamatan yang dipercayai bertindak pemberi maklumat kepada anggota kumpulan.

Beliau menasihatkan pemilik motosikal supaya memasang kunci tambahan sebagai langkah pencegahan.