IPOH: Polis sedang menyiasat insiden melibatkan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak pada pagi Ahad.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 8.20 pagi semasa lagu kebesaran Negeri Perak sedang berkumandang.
Menurutnya, suspek telah masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
“Suspek merupakan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di di sini.
Beliau berkata, had semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah.
Menurut Noor Hisam, pemeriksaan lanjut juga mendapati suspek mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif dan kes disiasat di bawah Sekdyen 335/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah,” ujarnya.
Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan.