Polis tahan lelaki, rampas lebih 2 kg dadah bernilai RM125,000

Berita Perak

IPOH: Polis menahan seorang lelaki kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rishah, di sini, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek berusia 30 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kira-kira jam 4 petang selepas menerima maklumat berhubung kegiatan tersebut.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di sebuah rumah kosong di hadapan rumah suspek, polis menjumpai dan merampas beberapa jenis dadah yang diletakkan dalam peket plastik lut sinar.

“Antara dadah yang dirampas adalah methamphetamine, ketamin, heroin, dan ketulan daun mampat disyaki ganja dengan anggaran jumlah berat keseluruhan lebih dua kilogram.

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan berjumlah RM125,015,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah, namun semakan rekod menunjukkan lelaki itu mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Menurutnya, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 apabila polis menyita sebuah kereta jenis Honda Accord dengan anggaran nilai RM40,000.

Katanya, berdasarkan siasatan yang dijalankan, aktiviti pengedaran dadah itu dipercayai mula aktif sejak awal Jun 2024 dan dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan di negeri Perak.

“Dianggarkan jumlah dadah yang dirampas ini boleh digunakan seramai 2,000 orang penagih dadah,” ujarnya.

Noor Hisam berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 akta sama, manakala suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 September ini bagi membantu siasatan.