BAGAN DATUK: Polis sedang memburu seorang suspek lelaki yang dipercayai mencabul kehormatan seorang wanita tempatan di Lorong Lagenda, Hutan Melintang, di sini pada 31 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 22 tahun itu sekitar jam 1.30 tengah hari 31 Januari lalu, yang mendakwa badannya diraba dan dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Katanya, kejadian itu berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pembantu kedai rawatan wajah hendak membuka pintu pusat kecantikan itu di lorong berkenaan.
“Suspek telah meramas dada dan punggung mangsa beberapa kali dan lelaki itu terus melarikan diri dari tempat kejadian.
“Hasil siasatan pihak polis di lokasi kejadian mendapati satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) telah berjaya merakam perbuatan dan wajah suspek tersebut.
“Sehingga kini suspek masih gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sehubungan itu, Ahmad Adnan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan Kerana Mencabul
Kerhomatan.
Beliau turut meminta kerjasama dan bantuan orang ramai yang terlihat atau mengenali suspek seperti dalam gambar disertakan untuk tampil memberikan maklumat.
Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sjn Shahzawani di talian 05-6299222.